Punca dan cara atasi kekejangan otot





Kekejangan otot berlaku akibat pengecutan otot yang tidak terkawal seterusnya menyebabkan ia tidak dapat berehat secara normal. Dalam keadaan normal, otot akan mengecut dan berehat secara sekata. Namun, tindakan otot yang mengecut secara tiba-tiba menyebabkan terjadinya kekejangan.


Sesetengah orang akan mengalami kekejangan otot dalam tempoh beberapa saat atau beberapa minit. Pun begitu, ada juga yang mengalaminya dalam tempoh yang agak lama. Kekejangan otot yang lama mungkin satu petanda kepada kesihatan tubuh badan.


Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kekejangan otot. Antaranya disebabkan oleh komplikasi kecederaan lama, tidak melakukan pemanasan badan sebelum bersukan, melakukan aktiviti senaman dalam tempoh yang lama sehingga menyebabkan otot letih dan kekurangan air dan garam galian atau elektrolit.


Kebiasaannya, kekejangan otot dapat dikenal pasti apabila anda berasa sakit di kawasan otot terlibat apabila ia menegang, mengeras seterusnya berasa sakit apabila disentuh. Mereka yang pernah mengalami situasi ini terpaksa berehat daripada melakukan sebarang aktiviti sementara menunggu kekejangan tersebut reda.


Bagi mengatasi permasalahan ini, anda digalakkan untuk mengambil makanan berkarbohidrat seperti nasi dan roti. Manakala pengambilan elektrolit dan mineral seperti kalsium, magnesium, potassium dan zink dipercayai membantu mencegah kecederaan dan kejang otot. Buah-buahan seperti pisang yang mengandungi potassium serta air isotonik amat diperlukan bagi mencegah kekejangan dan kecederaan otot.


Selain menitikberatkan pemakanan, anda  juga disarankan untuk melakukan regangan secara perlahan-lahan pada otot yang bermasalah. Sesi pemanasan badan sebelum dan selepas bersukan ini juga dapat membantu mengatasi kekejangan otot. Ia penting agar otot-otot terlibat tidak terkejut dan dapat menerima tindak balas berkenaan.


Sekiranya anda mengalami kekejangan, sapukan minyak panas atau ubat yang dikhaskan untuk tujuan itu di bahagian berkaitan. Jika kekejangan berlaku di bahagian kaki, legakan kekejangan itu dengan cara duduk dan luruskan kaki serta halakan jari kaki ke arah badan. Lakukan ia secara berulang sehingga rasa kejang itu hilang. Ia diikuti dengan urutan secara perlahan di tapak kaki bagi melegakan otot dan melancarkan aliran darah.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More