SHAH ALAM - Mulai 1 April ini, penduduk pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal berpeluang menikmati air percuma dengan hanya melaporkan bilangan kediaman berpenghuni di kawasan perumahan mereka kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB), menerusi program ‘Lapor dan Dapat’.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Ir Iskandar Abdul Samad berkata, maklumat itu kemudiannya akan disampaikan Kerajaan Negeri kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), sebelum mereka membuat potongan melalui bil meter pukal.
“Potongan yang diberikan Syabas adalah bersamaan nilai air untuk 20 meter padu kali jumlah kediaman berpenghuni. Mereka kemudian mesti memberi potongan kepada bil-bil meter individu penduduk.
“Bukti potongan ini perlu ditunjukkan kepada COB dan COB juga akan melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan bilangan kediaman yang berpenghuni adalah sama seperti yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Justeru, perbadanan pengurusan (MC), badan pengurusan bersama (JMB), ejen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk diminta berbincang dengan COB untuk mendapatkan air percuma.
Iskandar berkata, program itu berupaya melipatgandakan bilangan penduduk rumah kos rendah mendapat air percuma.
“Kaedah pemotongan pada bil meter pukal memang sedang dilaksanakan sekarang, tetapi program ini akan meringkaskan lagi prosedur permohonan.
“Sebelum ini, sistem kupon turut dilaksanakan untuk memberi air percuma kepada penduduk rumah kos rendah tetapi ia amat rumit. Pemotongan pada bil meter pukal dan sistem kupon dilaksanakan kerana migrasi dari meter pukal ke meter individu oleh Syabas tidak dapat dilakukan dengan kadar segera,” katanya
SUMBER:SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment